MIRI: Golongan muda digalak memanfaatkan peluang keusahawanan secara sambilan sebagai platform menjana pendapatan tambahan selain mengembangkan kreativiti menerusi penghasilan produk tempatan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan wajar digalakkan kerana ia dapat memberi pengalaman serta kemahiran dalam mengurus perniagaan.
“Golongan muda kita perlu berusaha dan menceburi bidang keusahawanan, termasuk menjalankan perniagaan secara sambilan untuk mendapatkan pendapatan tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Mid-Autumn Coconut Market, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, kira-kira 25 gerai menyertai jualan tersebut dengan kebanyakan pengusaha terdiri daripada golongan muda yang mengetengahkan pelbagai produk makanan, minuman, kraftangan dan produk buatan sendiri.
Katanya, penganjuran berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada usahawan muda memperkenalkan produk kepada masyarakat, malah menyediakan platform untuk mereka mengembangkan kreativiti dan memperoleh pengalaman dalam bidang perniagaan.
Beliau turut menyambut baik usaha berkenaan yang membuka peluang kepada lebih ramai golongan muda untuk mencuba bidang keusahawanan sebagai salah satu sumber pendapatan tambahan. -EDISI UKAS