Hari Cuci Malaysia MPKS Perkukuh Budaya Kebersihan Komuniti
SADONG JAYA: Program Hari Cuci Malaysia Peringkat Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Pekan Warisan Pendam Sadong Jaya, di sini, menjadi platform memperkukuh kesedaran dan penglibatan masyarakat dalam menjaga kebersihan serta kelestarian persekitaran.
Pengerusi MPKS, Abang Ismawi Abang Ali berkata, program seumpama itu amat bermakna dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran secara berterusan.
“Program seperti ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja berkaitan aktiviti membersihkan kawasan, tetapi turut membentuk kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat untuk menjaga kebersihan persekitaran.
“Usaha menjaga kebersihan tidak boleh dilakukan sekali-sekala, sebaliknya perlu menjadi amalan berterusan dan melibatkan kerjasama semua pihak,” katanya ketika merasmikan program tersebut pada Sabtu.
Beliau berkata, kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan komuniti amat penting bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih, selamat dan selesa untuk didiami.
Menurutnya, komitmen terhadap kebersihan dan kesihatan awam turut selaras dengan pencapaian MPKS yang baru-baru ini menerima pengiktirafan lima bintang dalam Anugerah Perkhidmatan Kesihatan Awam.
Program turut dilaksanakan secara serentak di beberapa kampung sekitar Sadong Jaya dengan penglibatan aktif pelbagai lapisan komuniti setempat termasuk golongan warga emas dan pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sadong Jaya.
Turut mengambil bahagian ialah warga Balai Bomba Daerah Asajaya, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Kecil Sadong Jaya serta Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan.
Selain aktiviti gotong-royong, program turut diserikan dengan Kempen Beli Balik Barangan Kitar Semula serta pameran kesihatan yang memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan amalan kitar semula dan penjagaan kesihatan.
Hadir sama, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin. -EDISI UKAS