LUNDU: Amalan mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula (3R) perlu dijadikan sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat bagi memastikan kebersihan serta kelestarian alam sekitar dapat dikekalkan secara berterusan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, tanggungjawab menjaga kebersihan tidak seharusnya dilihat sebagai tugas pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif seluruh komuniti.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Zero Waste Village Campaign 4.0, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, masyarakat boleh menyumbang melalui langkah mudah seperti mengurangkan penggunaan beg plastik serta memanfaatkan program beli balik barangan elektrik dan minyak masak terpakai bagi mengurangkan pembuangan sisa dan memberi nilai tambah kepada bahan terpakai.
Katanya, persekitaran yang bersih turut mempunyai kaitan rapat dengan kesejahteraan fizikal dan mental masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pihak berkuasa tempatan bersama Ahli Majlis meneruskan pemeriksaan di kawasan awam termasuk pasar bagi mencegah pembiakan nyamuk serta memastikan tahap kebersihan sentiasa terpelihara.
Dalam pada itu, Billy mencadangkan supaya balai raya kampung berkenaan dimanfaatkan sebagai perpustakaan kampung pada masa akan datang bagi menyediakan kemudahan pembelajaran dan rujukan kepada penduduk setempat.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Wan Fauzi Wan Ismail berkata, kempen seumpama itu wajar dilaksanakan dengan lebih kerap bagi memperluas pembudayaan amalan 3R iaitu ‘Reduce, Reuse dan Recycle’ dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, pengurusan sisa pepejal yang baik bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran, malah bahan buangan tertentu boleh dikitar semula dan berpotensi menjana pendapatan. -EDISI UKAS