Kolej Tingkatan Enam Kota Samarahan Dijangka Beroperasi 2028
KOTA SAMARAHAN: Kolej Tingkatan Enam Kota Samarahan yang kini dalam pembinaan dijangka mula beroperasi pada 2028 bagi memperkukuh kemudahan pendidikan pra-universiti di Bahagian Samarahan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, pembinaan kolej berkenaan kini sedang berjalan dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan.
Menurut beliau, kolej yang terletak bersebelahan SMK Kota Samarahan dan Institut Pendidikan Guru (IPG) itu dijangka menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar Tingkatan Enam.
“Alhamdulillah, di Samarahan kita telah diluluskan Kolej Tingkatan Enam yang kita perjuangkan sejak 2014.
“Kelulusan diperoleh pada 2022 dan pembinaannya bermula tahun ini dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Penutup Nyambung Blaja 2026 @ UNIMAS Bahagian Samarahan, pada Sabtu.
Datuk Rubiah berkata, apabila siap kelak, kolej tersebut akan menempatkan pelajar Tingkatan Enam dari seluruh Bahagian Samarahan termasuk Sebuyau, Asajaya dan Kota Samarahan, sekali gus membolehkan pendidikan Tingkatan Enam dipusatkan di satu lokasi.
Katanya, pemusatan itu secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kepadatan pelajar di sekolah menengah sekitar Kota Samarahan yang kini berdepan peningkatan enrolmen.
Beliau berkata, kolej berkenaan akan menawarkan aliran Sains dan Sastera, manakala kemudahan seperti makmal akan membolehkan pelajar mendapat persekitaran pembelajaran yang lebih sesuai bagi peringkat pra-universiti.
Datuk Rubiah memaklumkan, pelajar aliran Sains yang kini dipusatkan di SMK Muara Tuang termasuk dari Asajaya kelak akan ditempatkan di Kolej Tingkatan Enam berkenaan. -EDISI UKAS