Empat Pasukan Buru Mahkota Piala Parlimen P200 Batang Sadong
SIMUNJAN: Empat pasukan mengesahkan tempat ke perlawanan akhir kategori veteran dan senior Kejohanan Bola Sepak Piala Parlimen P200 Batang Sadong selepas masing-masing mencatat kemenangan dalam aksi separuh akhir di Stadium Mini Simunjan, pada Sabtu.
Bagi kategori veteran, Ex Force dan Abok FC masing-masing menewaskan Kaslo FC 2-1 dan Megalodon Vet FC 3-2 untuk menempah tiket ke pentas akhir.
Sementara itu, kategori senior menyaksikan Pemuda Gedong mara selepas menewaskan Gedong Unity 9-7 dalam aksi penuh gol, manakala Zass FC melengkapkan senarai finalis selepas mengatasi Alaska King 1-0.
Perlawanan akhir bagi kedua-dua kategori dijadualkan berlangsung pada petang 27 September di Stadium Mini Simunjan.
Bagi kategori veteran, juara bakal menerima RM6,000 berserta piala, naib juara RM4,000 dan tempat ketiga bersama RM2,000, manakala kategori senior menawarkan hadiah RM3,000 kepada juara, RM2,000 kepada naib juara dan RM1,000 bagi tempat ketiga bersama.
Selain hadiah berpasukan, empat anugerah individu turut dipertandingkan menerusi kategori Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik bagi senior serta veteran dengan setiap penerima membawa pulang RM200.-EDISI UKAS