Pendidikan Tanggungjawab Bersama Bentuk Generasi Masa Hadapan
KOTA SAMARAHAN: Pendidikan merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama warga pendidik, ibu bapa, masyarakat, agensi kerajaan dan sektor swasta bagi memastikan potensi generasi masa hadapan dapat dibangunkan secara menyeluruh.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, berkata pendidikan tidak seharusnya terhad kepada bilik darjah, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak.
“Pendidikan tidak boleh bersama rakyat untuk sehari. Pendidikan mesti bersama rakyat setiap hari kerana apabila kita berbicara tentang pendidikan, kita sebenarnya sedang berbicara tentang masa depan anak-anak kita, masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Karnival Pendidikan MADANI “Sehari Bersama Rakyat” Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Samarahan Tahun 2026, di Auditorium Kampus Institut Kemajuan Desa (INFRA) Cawangan Sarawak, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, menurut Datuk Rubiah, sistem pendidikan perlu terus berkembang seiring perubahan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan keperluan dunia pekerjaan yang semakin dinamik.
Katanya, murid perlu dilengkapi kemahiran berfikir, berkomunikasi, menyelesaikan masalah serta menggunakan teknologi secara bijak dan beretika.
Beliau turut menekankan kepentingan merapatkan jurang akses teknologi antara kawasan bandar dan luar bandar supaya anak-anak di desa turut mempunyai peluang yang sama untuk menguasai kemahiran digital.
“Kita mahu anak-anak di desa bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menguasai teknologi, memanfaatkannya dan suatu hari nanti mencipta dengannya,” ujarnya.
Datuk Rubiah turut mengingatkan agar pembangunan pendidikan tidak hanya memberi tumpuan kepada pencapaian akademik, sebaliknya turut membentuk nilai, karakter, keyakinan dan integriti dalam kalangan murid.
Beliau berkata, setiap anak mempunyai bakat dan laluan kejayaan berbeza, justeru tanggungjawab semua pihak adalah memastikan setiap anak diberikan peluang untuk berkembang mengikut potensi masing-masing.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Siti Zulaiha Ibrahim, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pengurusan Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan Susan Nesserd, Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan Kr. Abang Ismawi Abang Ali serta wakil Ketua INFRA Cawangan Sarawak Cliff Davis Paka.-EDISI UKAS