Pembinaan Perpustakaan Awam Daro Memasuki Fasa Akhir Pembinaan
DARO: Projek Pembinaan Perpustakaan Awam Daerah Daro kini mencapai kemajuan 81.94 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2027.
Perkembangan itu dimaklumkan pada Mesyuarat Kemajuan Projek Bilangan 10 bagi Pembinaan Perpustakaan Awam Daerah Daro dan Pembinaan Pasar Tani Daerah Daro yang dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad di Bilik Mesyuarat Pejabat Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) Cawangan Daro, pada Jumaat.
Mesyuarat turut dihadiri Ketua Seksyen Kejuruteraan MDMD, Ts. Wan Amry Wan Fadillah, serta wakil juruperunding dan kontraktor yang terlibat.
Mesyuarat berkenaan antara lain membincangkan perkembangan terkini kedua-dua projek, penyelarasan kerja serta perkara berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan mengikut jadual ditetapkan.
Sejurus selesai mesyuarat, Dr. Safiee meneruskan lawatan ke tapak Projek Pembinaan Perpustakaan Awam Daerah Daro bagi meninjau kemajuan kerja serta mendapatkan maklumat terkini berkaitan pelaksanaan projek.
Beliau turut menerima taklimat daripada pihak berkaitan sebelum meninjau sendiri kerja-kerja pembinaan yang sedang dilaksanakan di tapak.
Dengan kemajuan kini mencecah 81.94 peratus, projek berkenaan berada pada peringkat akhir pelaksanaan dan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada Januari 2027.
Pembinaan perpustakaan itu dijangka memberi manfaat kepada masyarakat setempat, khususnya generasi muda, dengan menyediakan kemudahan pembelajaran, pembacaan dan rujukan yang lebih selesa serta kondusif.
Kemudahan berkenaan juga dilihat mampu memperkukuh budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat, selain menjadi salah satu prasarana penting dalam menyokong usaha pembangunan modal insan serta melahirkan masyarakat berpengetahuan dan berdaya saing.
Dr. Safiee turut menekankan kepentingan kerjasama dan penyelarasan berterusan antara pihak berkaitan supaya sebarang isu berhubung pelaksanaan projek dapat ditangani dengan segera, sekali gus memastikan projek disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan. - EDISI UKAS