Hubungan Pemimpin Dan Masyarakat Pelagus Terus Diperkukuh
KAPIT: Sesi Santai Bersama YB ADUN N.61 Pelagus menjadi platform bagi memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat selain memberi ruang kepada penduduk menyampaikan isu serta keperluan setempat secara langsung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang berkata, pertemuan bersama tuai-tuai rumah dan komuniti rumah panjang penting bagi membolehkan pemimpin mendekati masyarakat serta memahami aspirasi dan keperluan penduduk.
“Hubungan baik antara pemimpin dan rakyat perlu terus diperkukuh bagi memastikan aspirasi serta matlamat pembangunan dapat disampaikan dan dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Santai Bersama YB ADUN N.61 Pelagus yang diadakan di kediaman Tr. Nandung, Taman Siew Gin, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menyeru komuniti rumah panjang supaya terus bersatu hati serta mengelakkan perselisihan faham demi mengekalkan keharmonian bersama.
Beliau turut berharap masyarakat terus memberikan kerjasama dalam menyokong usaha pembangunan, khususnya di kawasan Pelagus.
Antara perkara yang dibangkitkan dalam sesi berkenaan termasuk keperluan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih dan elektrik, penyelenggaraan rumah panjang serta pembangunan tapak perumahan baharu.
Sementara itu, Tr. Nandung Jenggot merakamkan penghargaan kepada Wilson Nyabong atas kesudian hadir bersama masyarakat dan mendengar isu serta keperluan penduduk setempat.
Hadir sama Penghulu Skudan, Guru Besar SK Nanga Sama dan tuai-tuai rumah. - EDISI UKAS