Semetap Legend Clash 2026 Perkasa Sukan Badminton Di Kapit
KAPIT: Semetap Legend Clash 2026 Inter-Team Doubles Badminton Tournament menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu, mengembangkan sukan badminton serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, penganjuran kejohanan seperti itu bukan sekadar medan persaingan, malah membuka ruang kepada pemain untuk menampilkan kebolehan dan mengembangkan bakat ke peringkat lebih tinggi.
“Penganjuran kejohanan secara berkala penting bagi merancakkan pembangunan sukan badminton di peringkat akar umbi, selain menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Semetap Legend Clash 2026 Inter-Team Doubles Badminton Tournament di Dewan Masyarakat Melayu, Kampung Muhibbah, Bleteh, pada Sabtu.
Menurutnya, sukan turut berperanan sebagai wadah untuk mengeratkan silaturahim, membina persefahaman dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menyeru para peserta supaya mengamalkan semangat kesukanan, menghormati pihak lawan dan keputusan pengadil serta memberikan persembahan terbaik sepanjang kejohanan.
Kejohanan anjuran Semetap Legend Badminton Club (SLBC) itu menghimpunkan 14 pasukan melibatkan 112 peserta dari pelbagai bahagian dan daerah.
Dengan slogan ‘Beyond Rankings. Beyond Borders. Where Legends Collide’, kejohanan berkenaan terbuka kepada pemain tanpa mengira tahap kemahiran, ranking, pengalaman pertandingan atau kewarganegaraan.
Sementara itu, wakil Semetap Legend Badminton Club, Timoty Barat mengalu-alukan penyertaan para peserta serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong penganjuran kejohanan berkenaan.
Beliau turut memaklumkan peruntukan sebanyak RM15,000 bagi pelaksanaan kejohanan.
Pada majlis sama, Datuk Jefferson menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Semetap Legend Badminton Club bagi menyokong aktiviti kelab serta penganjuran pertandingan yang lebih berprestij.
Hadir sama Penghulu James Sandak dari Pusat Khidmat N.63 Bukit Goram, Pemancha Abang Hamzah Bolhassan, Pengerusi Semetap Legend Badminton Club, Dennis Lamat serta para peserta kejohanan. - EDISI UKAS