Bebuling STOLport Catat Kemajuan Dengan Penerbangan Percubaan Kedua
BETONG: Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling di Spaoh terus mencatat kemajuan ke arah pengoperasian apabila penerbangan percubaan kedua dilaksanakan pada Sabtu, sekali gus menjadi sebahagian daripada proses penilaian kesiapsiagaan kemudahan berkenaan.
Penerbangan percubaan itu disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg selepas beliau menyempurnakan Program Sarawakku Sayang (SKS) Betong 2026.
Ia merupakan sebahagian daripada proses penilaian menyeluruh meliputi aspek teknikal, operasi dan keselamatan bagi memastikan STOLport Bebuling memenuhi keperluan serta piawaian ditetapkan sebelum dibuka kepada operasi awam.
Sebelum ini, penerbangan percubaan pertama dilaksanakan pada 18 September 2026 menggunakan pesawat Super King 300, 9M-WSD yang disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Ir Cassidy Morris.
Pelaksanaan penerbangan percubaan secara berperingkat penting bagi menilai tahap kesiapsiagaan keseluruhan kemudahan dan memastikan aspek keselamatan serta kecekapan operasi berada pada tahap yang diperlukan.
STOLport Bebuling dilengkapi landasan sepanjang 1,190 meter, taxiway, apron, terminal, menara kawalan, helipad serta kemudahan Aircraft Fire and Rescue Services (AFRS).
Apabila beroperasi kelak, kemudahan itu dijangka memperkukuh kesalinghubungan Betong dengan kawasan lain, memudahkan pergerakan penumpang dan penghantaran barangan serta menyokong pertumbuhan aktiviti ekonomi setempat.
Pembangunan infrastruktur pengangkutan berkenaan turut melengkapi usaha memperkukuh ekosistem agro di kawasan itu menerusi Bebuling Agropark serta Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di Spaoh.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak serta tetamu lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Eisner Nala
Foto: Ibanez Jeffery & George S. Embie