68 Peserta sertai Trail Run dan Hiking Challenge EBM 2026
TUNOH: Seramai 68 peserta dari dalam dan luar kawasan menyertai Trail Run dan Hiking Challenge sempena Ekspedisi Bukit Mabong (EBM) Edisi Ke-2 Tahun 2026 yang berlangsung di Tunoh, Bukit Mabong, di sini, pada Sabtu.
Pegawai Daerah Bukit Mabong, Jabang Juntan berkata, aspek keselamatan diberi keutamaan bagi memastikan aktiviti rekreasi berasaskan alam semula jadi itu berjalan lancar.
Beliau turut memberi taklimat berkaitan laluan yang akan dilalui serta mengingatkan peserta supaya mematuhi panduan keselamatan sepanjang aktiviti.
Program anjuran Pejabat Daerah Bukit Mabong itu bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat, meningkatkan kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar serta memperkukuh semangat komuniti melalui aktiviti rekreasi.
Program tersebut turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Ajan, komuniti Tunoh serta agensi berkaitan.
Bagi kategori terbuka, pemenang tempat pertama menerima hadiah wang tunai RM1,200 berserta piala dan medal, diikuti tempat kedua RM1,000 serta piala dan medal, manakala tempat ketiga menerima RM800, piala dan pingat.
Peserta yang menduduki tempat keempat hingga ke-10 masing-masing menerima RM100 dan pingat.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Susan Clement Ingun, Jabang Juntan serta ketua-ketua jabatan dan wakil agensi.- EDISI UKAS