MURUM: Pesta Kebudayaan Adet Penan (PKAP) Belaga 2026 menjadi platform penting dalam memelihara warisan dan identiti masyarakat Penan selain memperkukuh perpaduan komuniti di kawasan Belaga dan Murum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, penganjuran pesta berkenaan bukan sekadar meraikan kebudayaan, malah memastikan adat resam, bahasa, seni, kraftangan dan pengetahuan tradisional masyarakat Penan terus diwarisi generasi akan datang.
Menurut beliau, golongan belia perlu memainkan peranan aktif sebagai pewaris budaya dan bakal pemimpin masyarakat, termasuk memanfaatkan teknologi digital serta media sosial untuk memperkenalkan keunikan budaya Penan kepada masyarakat luar.
Beliau berkata, usaha memperkasa masyarakat pedalaman juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi penyediaan infrastruktur asas, pendidikan, kesihatan, telekomunikasi dan peluang ekonomi.
“Pembangunan yang sebenar bukan hanya melibatkan kemudahan fizikal, tetapi turut memastikan anak-anak pedalaman memperoleh pendidikan lebih baik, keluarga mempunyai sumber pendapatan stabil dan masyarakat dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa serta sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pesta itu di Ruai Rumah Panjang Long Tanyit, Sungai Linau, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Kennedy menyeru masyarakat Penan supaya terus mengekalkan semangat persaudaraan, kesatuan dan kerjasama dalam mendepani perubahan serta pembangunan yang semakin pesat.
Beliau turut memberi jaminan untuk terus membawa suara dan keperluan masyarakat pedalaman kepada agensi kerajaan berkaitan, khususnya dalam menangani keperluan pembangunan di kawasan penempatan Penan.
Penganjuran PKAP 2026 turut menghimpunkan kira-kira 200 penduduk dan komuniti setempat sebagai wadah mempererat hubungan masyarakat serta memperkasa generasi muda sebagai pewaris budaya.
Turut hadir ialah Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Belaga David Langan, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Belaga, Jackson Rimong dan Jupitar Janin, Penghulu Dominic Minggu serta Pu Mayau Emang.- EDISI UKAS