RM180,000 Perkukuh Infrastruktur, Aktiviti Komuniti Rumah Nading
LUBOK ANTU: Penduduk Rumah Nading Brayon, Sebangki Pandak menerima RM180,000 bagi menyokong kerja baik pulih rumah panjang serta memperkukuh pelaksanaan aktiviti komuniti setempat.
Daripada jumlah tersebut, RM150,000 diluluskan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2027 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Nading bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih rumah panjang.
Sebanyak RM20,000 pula diluluskan menerusi geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada JKKK Rumah Nading, manakala RM10,000 kepada Gerempung Indu JKKK Rumah Nading bagi menyokong aktiviti serta keperluan komuniti.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, peruntukan tersebut mencerminkan perhatian berterusan kerajaan terhadap keperluan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Lawatan Tapak Projek RTP 2026 dan Randau Bersama Pemimpin di Rumah Nading Brayon, Sebangki Pandak, di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, pembangunan komuniti memerlukan kerjasama erat antara pemimpin, ketua masyarakat dan penduduk bagi memastikan keperluan setempat dapat dikenal pasti serta diberi perhatian secara berterusan.
Rumah Nading mempunyai 30 pintu, terdiri daripada 21 pintu tampung dan sembilan pintu berdiri sendiri.
Antara keperluan fizikal yang dikemukakan termasuk pemasangan jubin sepanjang empat kaki di ruai tengah, pemasangan siling dan kipas, pemasangan jubin pada dinding ruai serta kerja membaik pulih pintu ruai.
Bagi Gerempung Indu yang ditubuhkan pada 2005 dan kini mempunyai 30 ahli, keperluan yang dikenal pasti termasuk pembelian solar, pakaian seragam serta komputer riba dan pencetak bagi membantu pengurusan serta pelaksanaan aktiviti persatuan.
Sesi randau bersama pemimpin turut memberi ruang kepada penduduk menyampaikan isu dan keperluan berkaitan pembangunan, utiliti, kesihatan, tanah, pendidikan serta warisan untuk perhatian pihak berkaitan.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk isu hak milik tanah bagi penduduk yang masih belum mempunyai geran, ujian siren amaran banjir yang dijadualkan pada 2 Oktober serta sesi perbincangan bersama SESCO Batang Ai pada 28 September.
Pendekatan turun padang menerusi sesi randau tersebut membolehkan keperluan komuniti dikenal pasti secara langsung, sekali gus membantu memastikan pembangunan luar bandar terus memberi tumpuan kepada keperluan sebenar penduduk.-EDISI UKAS