Hari Cuci Malaysia 2026 Sarikei Perkukuh Agenda Bandar Rendah Karbon
SARIKEI: Penganjuran Hari Cuci Malaysia 2026 Peringkat Daerah Sarikei yang diadakan di Kampung Sebarang, di sini pada Sabtu, menjadi wadah memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kebersihan persekitaran, pengurusan sisa dan gaya hidup rendah karbon.
Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS), Kaunselor Stephen Wong Kie Yong berkata, inisiatif itu menekankan pembentukan tabiat harian yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar, termasuk mengurangkan sisa dan menggunakan sumber secara berhemah.
Menurutnya, penerapan nilai tersebut boleh dimulakan dari peringkat isi rumah dengan mengasingkan barangan, menggunakan semula bahan yang masih berguna serta mengelakkan pembaziran.
Program berkenaan turut diselaraskan dengan agenda Hari Rendah Karbon 2026 menerusi tema ‘Bersih Itu Tanggungjawab Kita’ dan ‘Sarikei Rendah Karbon, Komuniti Lestari’, selaras dengan cogan kata MDS, ‘Sarikei Bersih, Komuniti Sejahtera’.
Antara pengisian utama ialah gotong-royong bersepadu di Kampung Seberang serta aktiviti mengutip sampah sambil berjalan di sepanjang jalan utama sebagai platform meningkatkan kesedaran terhadap kebersihan kawasan sekitar.
Pendekatan hijau turut diketengahkan melalui galakan berjalan kaki, berbasikal dan berkongsi kenderaan, selain mengamalkan penggunaan bahan secara lebih terkawal bagi mengelakkan pembaziran.
Dalam aspek pengurusan sisa, Stephen menambah, kemudahan Pusat Pengumpulan Bahan Kitar Semula di pejabat MDS turut disediakan bagi menerima bahan kitar semula serta minyak masak terpakai.
Pada masa sama, kempen ‘10 Minit Cari & Musnah’ dilaksanakan bagi mengajak penduduk memeriksa kawasan kediaman dan menghapuskan bekas yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Penganjuran kali ini menyasarkan kutipan lebih lima tan bahan buangan, barangan kitar semula dan minyak masak terpakai, selain memberi tumpuan kepada lebih 10 lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan sampah dan berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes.-EDISI UKAS