Persatuan Pembangunan, Kebudayaan Cina Kapit-Song Perkukuh Identiti & Warisan Komuniti
KAPIT: Papan tanda Persatuan Pembangunan dan Kebudayaan Cina Kapit-Song dirasmikan sebagai simbol identiti dan kewujudan persatuan dalam komuniti setempat, selain mencerminkan komitmen organisasi dalam memperkukuh hubungan serta memelihara warisan dan kebudayaan masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, papan tanda berkenaan bukan sekadar penanda lokasi, malah menjadi medium penyampaian maklumat kepada masyarakat mengenai kewujudan, identiti dan peranan persatuan.
“Papan tanda ini turut menjadi lambang identiti organisasi serta mencerminkan komitmen persatuan dalam memperkukuh hubungan sesama ahli dan memberikan sumbangan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Papan Tanda serta Bangunan Baharu Persatuan Pembangunan dan Kebudayaan Cina Kapit-Song di premis persatuan berkenaan, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Jefferson turut menekankan kepentingan persatuan dalam memelihara warisan dan kebudayaan, termasuk bahasa, adat resam, kesenian, tradisi, nilai kekeluargaan serta amalan kemasyarakatan agar terus diwariskan kepada generasi akan datang.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pihak persatuan menganjurkan lebih banyak aktiviti kebudayaan, program pendidikan warisan serta kegiatan yang dapat memperkukuh hubungan antara generasi dan komuniti.
Menurutnya lagi, penglibatan generasi muda juga penting bagi memberi ruang kepada mereka menyumbang idea, mempelajari kepimpinan serta meneruskan kesinambungan organisasi dan warisan budaya.
Pada majlis sama, Datuk jefferson menyalurkan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Pembangunan dan Kebudayaan Cina Kapit-Song bagi membantu pelaksanaan program atau aktiviti persatuan.-EDISI UKAS