Kemudahan Jeti, Laluan Penghubung Manfaat Penduduk Tebaang Hulu
DARO: Penduduk Kampung Tebaang Hulu kini mendapat manfaat daripada kemudahan jeti dan laluan penghubung yang dijangka memudahkan urusan harian serta meningkatkan keselamatan komuniti yang menggunakan perhubungan sungai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, kerjasama antara sektor korporat, pemimpin masyarakat dan kerajaan penting bagi memastikan keperluan asas penduduk luar bandar terus diberi perhatian.
Menurut beliau, penglibatan pihak swasta menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bukan sahaja membantu menyediakan kemudahan diperlukan masyarakat, malah menyokong kesejahteraan komuniti di kawasan operasi syarikat.
“Kerjasama seperti ini perlu terus diperkukuh kerana ia memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat, terutama dalam menyediakan kemudahan yang dapat meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyaksikan penyerahan projek CSR daripada Daro Jaya Plantation, Erajaya Synergy Sdn. Bhd., anak syarikat Jaya Tiasa Holdings Berhad kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tebaang Hulu di Jeti Kampung Tebaang Hulu di sini, pada Sabtu.
Majlis turut menyaksikan gimik penyerahan projek serta tinjauan terhadap kemudahan yang disediakan.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Daro, Zul Usop; Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Tiasa Holdings Berhad Dato’ Jin Kee Mow, Pengurus Kanan Operasi Daro Jaya Plantation Abg Beniamin Abg Aing serta barisan pengurusan syarikat, ketua kaum dan JKKK Kampung Tebaang Hulu dan Kampung Tebaang Hilir.- EDISI UKAS