Gabungan Budaya & Riadah Tarik Masyarakat Amalkan Gaya Hidup Aktif
BINTULU: Penggabungan elemen budaya dan aktiviti riadah secara kreatif mampu menjadi pendekatan lebih menarik untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif tanpa mengetepikan warisan tradisi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, aktiviti seperti berjalan kaki dan Poco-Poco yang diserikan dengan pemakaian batik dan pelikat bukan sahaja mempromosikan budaya, malah membuka ruang penyertaan kepada masyarakat daripada pelbagai peringkat umur.
“Budaya dan tradisi perlu kita teruskan, tetapi cara kita membawa tradisi itu juga boleh menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertandingan Poco-Pocothon dan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Fun Walk 2026 bertemakan Batik dan Pelikat, di sini pada Ahad.
Program anjuran PPWS Daerah Bintulu Tatau itu menghimpunkan kira-kira 150 ahli PPWS dan orang ramai menerusi acara Fun Walk, manakala pertandingan Poco-Pocothon disertai tujuh kumpulan.
Menurut Johnny, amalan hidup aktif tidak semestinya memerlukan aktiviti fizikal yang lasak kerana berjalan kaki, menari Poco-Poco dan melakukan pergerakan ringan juga mampu membantu mengekalkan kecergasan.
Katanya, kesibukan bekerja, mengurus keluarga dan melaksanakan tanggungjawab harian tidak seharusnya menjadi penghalang untuk masyarakat meluangkan masa menjaga kesihatan.
“Yang penting kita bergerak dan melakukannya bersama-sama dengan keluarga dan rakan. Tidak perlu menjadi atlet, sebaliknya yang penting kita kekal aktif dan menikmati aktiviti yang dilakukan,” ujarnya.
Beliau berharap semangat mengamalkan gaya hidup aktif yang ditunjukkan peserta dapat diteruskan dalam kehidupan seharian, selain aktiviti seumpama itu terus menjadi wadah memperkukuh hubungan masyarakat dan memupuk penghargaan terhadap budaya serta tradisi tempatan.
Dalam pada itu, program bertemakan ‘Gerak Bersama, Wanita Luar Biasa’ tersebut turut menjadi platform mengeratkan silaturahim serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan ahli dan komuniti setempat.
Program berkenaan berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM12,929, manakala Johnny turut menyumbang RM1,000 kepada PPWS Daerah Bintulu Tatau.-EDISI UKAS