Sampadi Menjadi Pemangkin Koridor Pembangunan Baharu Lundu
LUNDU: Sampadi bakal menjadi antara pemangkin kepada pembentukan koridor pembangunan baharu di Lundu menerusi perancangan pembangunan bersepadu yang menggabungkan penempatan, pendidikan, infrastruktur dan teknologi dalam tempoh lima tahun akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perancangan itu termasuk pembangunan Sampadi sebagai sebuah pekan pintar dengan kemudahan moden serta pelaksanaan program penempatan semula bagi menyokong pertumbuhan kawasan berkenaan.
Menurut beliau, kedudukan Sampadi yang berhampiran kampus Universiti i-CATS baharu di Trombol turut memberi kelebihan strategik kerana pembangunan institusi pendidikan itu dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan kawasan sekitarnya.
“Dalam masa lima tahun akan datang, kita akan membuat perancangan secara organik supaya ia menjadi satu tarikan dan juga tempat ‘resettlement programme’ dengan kemudahan terkini, mudah-mudahan dapat menjadi smart pekan termasuklah IT,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Regatta Batang Kayan, di sini pada Ahad.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan Sarawak turut memperkukuh jaringan keterhubungan kawasan berkenaan menerusi usaha menyiapkan Jambatan Rambungan yang kini disasarkan siap pada 2027 selepas kontraktor baharu dilantik dan peruntukan tambahan disediakan.
Katanya, pembangunan tersebut akan melengkapkan jaringan perhubungan ke Tanjung Datu dan seterusnya membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi, pelancongan serta penempatan di kawasan sekitarnya.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan, ADUN Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Pegawai Tadbir Khas Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) Datuk Ik Pahon Joyik, Residen Bahagian Kuching Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS