Keluarga Main Peranan Bentuk Remaja Sihat, Selamat
LAWAS: Keluarga memainkan peranan penting dalam membimbing golongan remaja supaya kekal sihat, selamat dan mampu mengelakkan pengaruh negatif yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, ibu bapa perlu bersama-sama kerajaan dan jabatan berkaitan memberi perhatian serta pemantauan berterusan kepada anak-anak dalam aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan dan pembangunan diri.
“Remaja kita harus ada fokus terhadap kepentingan masa depan, baik dari segi pendidikan, kesihatan, keselamatan dan pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Remaja Sihat Tanpa STD anjuran Panel Klinik Kesihatan Sundar di perkarangan Klinik Kesihatan Sundar, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, bimbingan daripada keluarga penting bagi membantu golongan muda membuat pilihan yang baik serta membina hala tuju kehidupan yang positif.
Beliau berkata, golongan muda merupakan aset penting yang bakal meneruskan kesinambungan pembangunan negeri dan negara, justeru mereka perlu dibekalkan dengan pengetahuan serta kesedaran yang mencukupi untuk menjaga diri.
Selain pengisian kesedaran, peserta turut menyertai ‘Fun Run’ dan sesi Zumba sebagai aktiviti riadah, selain berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan kesihatan dan keselamatan. -EDISI UKAS