Piala Parlimen Batang Sadong 2026 Erat Silaturahim, Bakal Jadi Acara Tahunan
SIMUNJAN: Kejohanan Bola Sepak Veteran dan Senior Piala Parlimen Batang Sadong 2026 menjadi platform memperkukuh silaturahim serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia dan komuniti menerusi sukan.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, kejayaan penganjuran edisi sulung itu membuktikan perancangan yang dirangka sejak beberapa tahun lalu akhirnya dapat direalisasikan hasil komitmen dan kerjasama semua pihak.
Menurut beliau, kejohanan berkenaan bukan sahaja menyediakan ruang untuk mengetengahkan bakat dalam sukan bola sepak, malah mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
“Penganjuran bola sepak ini merupakan platform terbaik bagi merapatkan tali silaturahim, khususnya dalam kalangan golongan belia dan pemuda.
“Saya berharap kejohanan ini dapat dijadikan acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh komuniti serta peminat bola sepak di kawasan Batang Sadong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penangguhan Kejohanan Bola Sepak Piala Parlimen Batang Sadong 2026 di Stadium Mini Simunjan pada Ahad.
Kejohanan yang bermula sejak 5 September itu menghimpunkan 32 pasukan, masing-masing 16 pasukan bagi kategori Veteran dan Senior.
Penganjuran sulung berkenaan turut menarik penyertaan pasukan dari luar kawasan Batang Sadong termasuk Kuching dan Tebedu serta pasukan bekas tentera, sekali gus menyemarakkan persaingan sepanjang kejohanan.
Aksi kemuncak kategori Veteran menyaksikan Ex Force berentap dengan Abok FC, manakala Pemuda Gedong berdepan Zass FC bagi kategori Senior.
Bagi kategori Veteran, juara menerima hadiah wang tunai RM6,000, naib juara RM4,000 dan tempat ketiga RM2,000.
Sementara itu, juara kategori Senior menerima RM3,000, naib juara RM2,000, manakala dua pasukan di tempat ketiga masing-masing menerima RM1,000.
Anugerah khas turut disediakan bagi Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik untuk kedua-dua kategori.
Dalam pada itu, Rodiyah merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pengelola, penyelaras program, petugas serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan aspek pengurusan dan teknikal kejohanan berjalan lancar sehingga ke penghujung saingan.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris serta isteri Napsiah Abang Kaderi, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Simunjan, Kr. Mohammad Zaini Morshidi, Pengerusi Kejohanan Bola Sepak Piala Parlimen P200 Batang Sadong Edisi Ke-1, Jamil Semoni serta Penghulu Ahmad Dol Simpol.-EDISI
UKAS