Belia Perlu Tingkat Kemahiran Hadapi Perubahan Pasaran Pekerjaan
KOTA SAMARAHAN: Golongan belia perlu memperkukuh pengetahuan, kemahiran dan penguasaan teknologi bagi menghadapi perubahan pasaran pekerjaan yang dijangka menyaksikan 170 juta peluang kerja baharu muncul menjelang 2030, manakala sekitar 90 juta pekerjaan sedia ada berpotensi beralih atau terhapus.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, berkata perkembangan itu menjadikan pemahaman terhadap keperluan industri semasa penting supaya golongan muda dapat membuat pilihan pendidikan dan kerjaya yang lebih bertepatan dengan minat, bakat serta kemahiran mereka.
“Dia maklumkan 170 juta peluang kerja baru akan timbul pada tahun 2030, manakala 90 juta pekerjaan lama akan hilang. Jadi kita perlu bersedia dan tahu apa kehendak pasaran pada masa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Karnival Tok Bok Nyo 3.0 di Pusat Beli Belah The Summer, di sini, pada Ahad.
Menurut Daruk Rubiah, perubahan tersebut turut meningkatkan keperluan terhadap laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan pendidikan dan kerjaya, khususnya bagi golongan muda yang mempunyai kemahiran dan bakat tanpa semestinya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Katanya, akses kepada maklumat pendidikan dan kerjaya perlu diperluas bagi membantu pelajar mengenal pasti bidang yang bersesuaian serta memahami keperluan tenaga kerja yang sedang berkembang.
Dalam masa sama, penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) perlu diberi perhatian bagi membolehkan generasi muda menyesuaikan diri dengan perubahan dalam dunia pekerjaan.
Datuk Rubiah turut menegaskan pembangunan teknologi perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan warisan dan nilai masyarakat supaya kemajuan yang dicapai tidak mengetepikan identiti komuniti.
Sehubungan itu, pengisian Karnival Tok Bok Nyo 3.0 yang merangkumi ceramah kerjaya, bengkel, kemahiran, warisan dan e-sukan dilihat sebagai ruang untuk memperluas pendedahan kepada masyarakat, khususnya golongan muda, berkaitan pendidikan, kemahiran dan persediaan menghadapi perubahan masa depan.
Turut hadir, Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Kr Abang Ismawi Abang Ali, Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Setiausaha Perbandaran MPKS, Zuraida Idris serta wakil Pengarah Urusan Pusat Beli Belah The Summer, Lee Xin Nee.- EDISI UKAS