Samarahan Berkembang Jadi Kawasan Suburban, Semi-Urban Dalam Empat Dekad
KOTA SAMARAHAN: Transformasi Samarahan dalam tempoh empat dekad menyaksikan kawasan yang dahulunya berpenduduk kurang 10,000 orang kini berkembang menjadi kawasan suburban dan semi-urban dengan jumlah penduduk mencecah sekitar 200,000 orang.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, berkata pertambahan penduduk itu mencerminkan perubahan ketara Samarahan dari aspek pembangunan fizikal, pentadbiran, pendidikan dan sosioekonomi.
Menurut beliau, perkembangan tersebut turut didorong peningkatan jaringan jalan raya, bekalan elektrik dan air, kemudahan awam serta institusi pendidikan yang semakin berkembang seiring dengan pertambahan penduduk.
“Kalau dulu penduduk kita boleh kira, tidak sampai pun 10,000 di daerah Samarahan, tetapi sekarang penduduk kita mencurah 200,000 orang.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Karnival Tok Bok Nyo 3.0 di Pusat Beli Belah The Summer, di sini, pada Ahad.
Datuk Rubiah berkata, perubahan struktur ekonomi turut menjadi antara indikator utama transformasi Samarahan apabila kawasan tersebut tidak lagi bergantung kepada aktiviti pertanian sara diri, sebaliknya berkembang dengan kegiatan pertanian komersial, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor perdagangan.
Dalam pada itu, katanya, perkembangan Samarahan sebagai bandar ilmu dan kawasan pengeluaran makanan perlu disokong dengan pembangunan modal insan bagi memastikan pertumbuhan fizikal dan ekonomi turut memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat.
Dalam konteks tersebut, beliau menyifatkan penganjuran Karnival Tok Bok Nyo 3.0 sebagai antara platform yang menyokong pembangunan masyarakat melalui pengisian berkaitan pendidikan, kerjaya, kemahiran, teknologi, warisan dan kemasyarakatan.
Turut hadir, Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Kr Abang Ismawi Abang Ali, Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Rais Ahmat, Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Setiausaha Perbandaran MPKS, Zuraida Idris serta wakil Pengarah Urusan Pusat Beli Belah The Summer, Lee Xin Nee.- EDISI UKAS