SKS Betong Catat Kehadiran Lebih 96,000 Pengunjung Dalam Tiga Hari Penganjuran
BETONG: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Betong mencatatkan kehadiran seramai 96,763 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran penganjuran dari 25 hingga 27 September.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, sambutan tersebut mencerminkan penglibatan masyarakat dalam pelbagai aktiviti serta perkhidmatan yang disediakan.
Menurutnya, SKS turut menjadi platform mendekatkan perkhidmatan kerajaan dengan rakyat melalui penyampaian maklumat dan perkhidmatan secara terus kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu berkata, pendekatan turun padang perlu terus diperkasakan bagi memastikan perkhidmatan awam sentiasa dekat dengan rakyat serta memahami keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Rakyat juga perlu melihat, kalau perkhidmatan tidak memberi perkhidmatan yang betul, kamu ada hak untuk memberitahu dan untuk mengadu.
“Itulah tugasan kami kerana perkhidmatan adalah trafik dua jalan, tidak dapat satu jalan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program SKS Bahagian Betong di Kompleks Sukan Betong, pada Ahad.
SKS Betong menghimpunkan 48 agensi kerajaan yang menawarkan 158 perkhidmatan kepada masyarakat setempat, sekali gus menjadikannya lokasi ketujuh daripada 12 bahagian bagi siri jelajah SKS 2026.
Program seterusnya akan berlangsung di Bahagian Mukah sebelum siri jelajah diteruskan ke Zon Selatan bermula di Bahagian Sri Aman.
Turut hadir semasa majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas serta tetamu lain.-EDISI UKAS