Sarawak Mahu ASEAN Perkukuh Tindakan Bersama Tangani Jerebu
LUNDU: Sarawak mahu negara-negara ASEAN memperkukuh tindakan bersama bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan yang bukan sahaja menjejaskan kehidupan masyarakat, malah memberi kesan kepada aktiviti ekonomi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, isu jerebu tidak boleh dilihat sebagai masalah sesebuah negara semata-mata kerana pencemaran udara rentas sempadan mempunyai kaitan dengan perubahan iklim serta kebakaran di kawasan serantau.
Menurutnya, pendekatan bersama antara negara ASEAN perlu diwujudkan bagi memastikan masalah berkenaan dapat ditangani secara lebih berkesan dan berterusan.
“Saya meminta Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim untuk bercakap dengan Presiden Indonesia, Probowo Subianto, untuk ada satu tindakan bersama di antara negara-negara ASEAN bagaimana menyelesaikan jerebu ini,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Regatta Batang Kayan, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut mencadangkan penggunaan pendekatan dan teknologi baharu dalam menangani kebakaran yang menjadi antara punca pencemaran udara.
Katanya, penggunaan pesawat yang mampu membawa air ke kawasan kebakaran merupakan antara kaedah baharu yang boleh diterokai bagi membantu operasi pemadaman dan mengurangkan penghasilan asap.
“Jadi hendaklah gunakan cara-cara baru. Mudah-mudahan negara-negara ASEAN dapat menyelesaikan masalah jerebu,” katanya.
Beliau berkata, penyelesaian jangka panjang amat penting bagi memastikan masalah jerebu tidak terus berulang setiap tahun sehingga menjejaskan kesejahteraan rakyat dan kegiatan ekonomi.
Sebelum ini, kerajaan Sarawak juga telah membawa isu tersebut ke peringkat ASEAN bagi mencari pendekatan penyelesaian bersama. -EDISI UKAS