Post-Mortem SKS Betong Perkukuh Pelaksanaan Program Berskala Besar
BETONG: Mesyuarat Post-Mortem Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Tengah Bahagian Betong meneliti pelaksanaan program serta cadangan penambahbaikan bagi penganjuran program berskala besar pada masa akan datang.
Mesyuarat berlangsung di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Residen Bahagian Betong, di sini, Ahad, turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua jawatankuasa serta agensi dan jabatan kerajaan yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.
Dalam perutusan pengerusi mesyuarat yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program SKS 2026 (Zon Tengah) Datu Hii Chang Kee, menyatakan bahawa sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat dan pengunjung dari luar bahagian menjadi antara pencapaian utama Program SKS 2026 Bahagian Betong dengan jumlah keseluruhan kehadiran melebihi 97,000 orang.
Walaupun berdepan cabaran termasuk pencemaran udara, pelaksanaan Program SKS Bahagian Betong dapat berlangsung dengan lancar hasil kerjasama padu pelbagai agensi dan jabatan kerajaan serta pihak yang terlibat dalam pengurusan program.
Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, turut merakamkan penghargaan kepada Datu Hii atas kepimpinan beliau dalam menjayakan penganjuran Program SKS 2026 Zon Tengah, selain mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua agensi dan jabatan kerajaan yang memberikan komitmen sepanjang program berlangsung.
Menurut beliau, jumlah kehadiran yang melebihi 97,000 orang mencerminkan sambutan serta sokongan menggalakkan daripada masyarakat terhadap pelbagai pengisian yang disediakan sepanjang Program SKS Bahagian Betong.
Mesyuarat turut menyaksikan pembentangan laporan rangkuman Program SKS oleh Ketua Seksyen Pengurusan Prestasi dan Penilaian, Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), Abg. Muhammad Syafiq yang mengetengahkan isu dan perkara berbangkit di lokasi utama program.
Sesi perbincangan turut memberi ruang kepada ahli mesyuarat untuk mengemukakan pandangan, cadangan penambahbaikan serta penyelesaian terhadap isu yang dikenal pasti bagi memastikan perkara sama dapat dielakkan dan pengurusan program pada masa akan datang dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.
Cadangan yang dikemukakan bukan sahaja menjadi panduan untuk penganjuran program berskala besar di Bahagian Betong, malah boleh dijadikan input penambahbaikan bagi pelaksanaan Program SKS di bahagian lain pada masa akan datang. - EDISI UKAS