Enam Teras Pembangunan Jadi Asas Pembangunan Santubong
LUNDU: Enam teras pembangunan menjadi asas perancangan pembangunan Santubong bagi memastikan masyarakat setempat bersedia menerima dan memanfaatkan peluang pembangunan yang dilaksanakan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata, enam teras tersebut merangkumi pemantapan infrastruktur, pembangunan kapasiti dan modal insan, pembangunan sosioekonomi, pembangunan komuniti dan kesejahteraan rakyat, pembangunan belia, sukan dan kesukarelawanan serta pembangunan kerohanian dan nilai.
Menurut beliau, pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan masyarakat bersedia dari pelbagai aspek untuk menghadapi sebarang bentuk pembangunan di kawasan berkenaan.
"Ini penting bagi kami sebagai pemimpin kerana masyarakat perlu disiap sediakan untuk menghadapi sebarang jenis pembangunan.
"Mereka juga perlu tahu menerima pembangunan itu bukan mudah, maka mereka perlu bersedia kerana kita tidak mahu apabila sesuatu kawasan itu dibangunkan, masyarakat sendiri belum bersedia.
"Maka dengan itu, dengan enam teras tadi, kita cuba untuk mencapai semua pihak dalam masyarakat di dalam kawasan kita supaya mereka bersedia dari segi infrastruktur, dari segi sosioekonomi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Regatta Batang Kayang Lundu 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di khemah utama regatta tersebut, di sini, pada Ahad.
Justeru, Dato Sri Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong itu memberitahu, perancangan pembangunan perlu disusun mengikut keperluan setiap kawasan, termasuk dalam aspek pembangunan pelancongan yang mempunyai potensi untuk terus dikembangkan.
Katanya, kewujudan kedai, gerai dan tempat penginapan yang mula berkembang di kawasan berkenaan menunjukkan terdapat potensi untuk menarik lebih ramai pelancong.
Tambah beliau, kerjasama antara pihak swasta, komuniti setempat dan agensi berkaitan penting bagi membimbing masyarakat merebut peluang dalam sektor perkhidmatan pelancongan.
"Maka melalui kerjasama dengan pelbagai pihak, terutamanya pihak swasta, komuniti setempat dan juga agensi-agensi yang ada bersama dengan kita, kita boleh membimbing dan juga merebut peluang dalam perkhidmatan pelancongan seperti penginapan, penyediaan makanan dan perkhidmatan penjagaan," ujarnya.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan dan Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Mohd Hisyam Arif