LIMBANG: Penganjuran pesta budaya secara berterusan di Limbang bukan sahaja memastikan warisan etnik terus dipelihara, malah membuka ruang kepada masyarakat pelbagai kaum untuk mengetengahkan identiti dan kebudayaan masing-masing.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, usaha berkenaan penting bagi memastikan kebudayaan setiap kaum dapat diwarisi dan diraikan bersama.
“Semua ini bertujuan untuk memelihara dan mengetengahkan kebudayaan agar dapat diwarisi serta diraikan bersama oleh seluruh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kebudayaan Tiong Hua Antarabangsa Bahagian Limbang 2026, di sini pada Sabtu.
Menurut Datuk Dr Abdul Rahman, pesta berkenaan turut menjadi platform yang menghimpunkan komuniti Tiong Hua tempatan dan antarabangsa, termasuk penyertaan rakan dari Taiwan serta persembahan dari Miri dan Kuching.
Tambahnya, penganjuran di bawah Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang sejak 2016 turut melibatkan pelbagai etnik utama seperti Melayu Brunei, Kedayan, Iban, Bisaya dan Lun Bawang yang masing-masing mempunyai perayaan serta warisan tersendiri.
Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman berkata, Pesta Limbang 2026 berjaya menarik kira-kira 30,000 pengunjung dengan nilai hasil perniagaan mencecah RM1 juta, menunjukkan potensi acara budaya dalam merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Katanya lagi, pelbagai program turut dirancang sepanjang tahun bagi terus menghidupkan suasana daerah berkenaan, termasuk Pesta Bedudun, Lumba Kerbau, Hari Belia dan Limbang Motorday, Pertandingan Tarik Tali Antarabangsa serta sambutan Ambang Tahun Baharu 2027.
Beliau turut memaklumkan ‘Northern Region Music Festival’ anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal mencipta rekod Malaysian Book of Records pada 2027 menerusi persembahan muzik sepanjang 2.7 kilometer yang melibatkan tujuh etnik selama tujuh jam tanpa henti.
Hadir sama, ADUN Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, Pengerusi Majlis Daerah Limbang Sufian Mohat, Pegawai Perpaduan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Bahagian Limbang Suriani Yussop dan Penolong Pegawai Daerah Limbang Mariati Samat. -EDISI UKAS