Tanjung Datu Berpotensi Jadi Destinasi ‘Sport Fishing’ Antarabangsa
LUNDU: Kehadiran pelancong dari luar negara khususnya Singapura yang datang ke Sarawak khusus untuk aktiviti memancing membuka potensi baharu kepada Tanjung Datu untuk dibangunkan sebagai destinasi ‘sport fishing’ bertaraf antarabangsa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata trend berkenaan menunjukkan sumber perairan Sarawak mempunyai nilai ekonomi yang besar jika dimanfaatkan sebagai produk pelancongan berasaskan pengalaman.
“Jumlah pelancong dari Singapura juga meningkat dengan begitu ketara di mana mereka datang pada hujung minggu khususnya untuk aktiviti memancing, dengan menyewa bot dan pergi ke lokasi-lokasi memancing sebelum bermalam selama dua atau tiga malam.
“Selepas itu, mereka akan pulang ke Singapura dengan membawa hasil tangkapan dan ini menunjukkan bahawa Sarawak mempunyai potensi besar dalam aktiviti pelancongan memancing, khususnya dengan kekayaan lokasi memancing di perairan negeri ini,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Regatta Batang Kayan, di sini pada Ahad.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, perkembangan itu perlu diambil kira dalam perancangan pelancongan Tanjung Datu yang mempunyai kelebihan dari segi sumber laut, alam semula jadi dan lokasi yang masih kurang diterokai.
Perancangan ini menurut beliau diterjemahkan dengan peningkatan kesalinghubungan udara melalui AirBorneo yang turut membuka peluang lebih besar untuk menarik pelancong dari luar Sarawak.
Menurutnya, hubungan udara yang lebih baik akan memudahkan kemasukan pelancong sebelum mereka meneruskan perjalanan ke destinasi pelancongan di bahagian selatan Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Jonnie Kiew Beng Heng
Gambar: Mohd Hisyam Arif