Belia Lundu Perlu Diberi Peluang Jadi Pencetus Pembangunan Daerah
LUNDU: Generasi muda Lundu perlu diberikan ruang dan peluang untuk menjadi pencetus pembangunan daerah menerusi penglibatan lebih luas dalam bidang keusahawanan, teknologi dan ekonomi digital.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu merangkap Penaung Bersama Jawatankuasa Induk Regattan Batang Kayan Lundu 2026, Azizul Annuar Adenan berkata, pembangunan Lundu perlu dilaksanakan secara mampan dengan penglibatan bersama kerajaan, komuniti, sektor swasta, usahawan, belia dan seluruh masyarakat.
Menurutnya, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan Lundu terus berkembang seiring dengan kemajuan Sarawak, selain mewujudkan masa hadapan yang lebih jelas untuk generasi muda.
“Anak-anak muda di Lundu bukan sahaja perlu menjadi penonton kepada pembangunan, tetapi perlu menjadi sebahagian daripada pencetus pembangunan tersebut.
“Mereka perlu diberikan ruang dalam bidang keusahawanan, teknologi, ekonomi digital dan lain-lain lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penangguhan Regatta Batang Kayan 2026 yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di sini pada Ahad.
Tambah beliau lagi, pembangunan masa hadapan juga perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara warisan dan identiti tempatan yang menjadi sebahagian daripada kekuatan masyarakat Lundu.
“Ini tidak bermaksud kita melupakan warisan, tetapi sebaliknya warisan yang dipelihara dengan baik boleh menjadi sumber kekuatan untuk membina masa hadapan,” katanya lagi.
Azizul berkata, kerjasama semua pihak merupakan asas penting dalam memastikan pembangunan Lundu dapat dilaksanakan secara seimbang serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Jonnie Kiew Beng Heng
Gambar: Mohd Hisyam Arif