Kawasan Biawak Diperkasa Sebagai Pintu Ekonomi Sarawak-Indonesia
LUNDU: Kawasan Biawak di sini bakal diperkasa sebagai pintu strategik ekonomi rentas sempadan Sarawak-Indonesia, sekali gus membuka peluang jaringan perdagangan lebih luas dengan Kalimantan serta rantau ASEAN.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, peningkatan taraf pintu sempadan Biawak dijangka menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan ekonomi dan perniagaan antara Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia.
Menurut beliau, langkah itu turut selari dengan usaha membentuk rangkaian kerjasama ekonomi Borneo yang seterusnya boleh dihubungkan dengan ekonomi serantau ASEAN.
“Satu perkara yang ingin saya sebutkan berkaitan Indonesia ialah kita akan meningkatkan taraf pintu sempadan di Biawak.
“Ini akan menjadi salah satu saluran kerjasama antara Indonesia dengan Malaysia, yang sudah tentu akan memberi impak kepada Sarawak dan jalinan ini seterusnya akan memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Regatta Batang Kayan, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, beliau sebelum ini menerima kunjungan Pengerusi Dewan Perniagaan Indonesia bersama delegasinya yang menyatakan hasrat untuk mewujudkan rangkaian kerjasama ekonomi Borneo.
“Saya ingin berkongsi bahawa saya telah dikunjungi oleh Pengerusi Dewan Perniagaan Indonesia bersama pasukannya yang berhasrat untuk menubuhkan rangkaian kerjasama ekonomi Borneo. Rangkaian ini akan dihubungkan dengan ekonomi serantau ASEAN.
“Ini merupakan peluang baharu untuk memperkukuh kerjasama yang mampu mewujudkan pembangunan ekonomi yang lebih mendalam, sekali gus melonjakkan pertumbuhan ekonomi di rantau ini,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Jonnie Kiew Beng Heng
Gambar: Mohd Hisyam Arif