Pemuda Gedong, Ex Force Juara Sulung Piala Parlimen P200 Batang Sadong
SIMUNJAN: Pemuda Gedong dan Ex Force melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai juara sulung kategori Senior dan Veteran Kejohanan Bola Sepak Piala Parlimen P200 Batang Sadong 2026 di Stadium Mini Simunjan pada Ahad.
Pemuda Gedong muncul juara kategori Senior selepas menewaskan Zass FC 4-1 dalam aksi final, manakala Ex Force mengungguli kategori Veteran menerusi kemenangan 5-4 dalam penentuan sepakan penalti ke atas Abok FC selepas terikat 1-1 pada masa penuh.
Dalam aksi final kategori Senior, Pemuda Gedong mempamerkan penyudah lebih berkesan apabila menghasilkan empat jaringan untuk memastikan kemenangan 4-1 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala dan medal.
Zass FC selaku naib juara menerima RM2,000 berserta piala dan medal, manakala Gedong Unity dan Alaska King berkongsi tempat ketiga dengan masing-masing menerima RM1,000 berserta piala dan medal.
Saingan kategori Veteran pula berlangsung sengit apabila Ex Force dan Abok FC saling berbalas serangan sebelum terikat 1-1 sehingga tamat masa permainan.
Penentuan sepakan penalti menyaksikan Ex Force lebih tenang untuk mencatat kemenangan 5-4, sekali gus muncul juara sulung kategori berkenaan.
Kejayaan itu membolehkan Ex Force membawa pulang RM6,000 berserta piala dan medal, manakala Abok FC selaku naib juara menerima RM4,000 berserta piala dan medal.
Kaslo FC dan Megalodon Vet FC pula berkongsi tempat ketiga dengan masing-masing menerima RM2,000 berserta piala dan medal.
Sementara itu, Denis Duya dari Megalodon Vet FC dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak kategori Veteran selepas menghasilkan enam gol, manakala penjaga gol Ex Force dipilih sebagai Pemain Terbaik.
Bagi kategori Senior, Zamri Raduan dari Pemuda Gedong muncul Penjaring Terbanyak dengan lapan gol, manakala rakan sepasukannya, Ummar Ar Haidar Yasim dinobatkan sebagai Pemain Terbaik.
Setiap penerima anugerah individu membawa pulang hadiah wang tunai RM200.
Hadiah kepada para pemenang dan penerima anugerah disampaikan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.
Kejohanan edisi sulung itu menghimpunkan 32 pasukan dengan masing-masing 16 pasukan berentap dalam kategori Senior dan Veteran sejak 5 September lalu.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris serta isteri Napsiah Abang Kaderi, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Simunjan, Kr. Mohammad Zaini Morshidi, Pengerusi Kejohanan Bola Sepak Piala Parlimen P200 Batang Sadong Edisi Ke-1, Jamil Semoni serta Penghulu Ahmad Dol Simpol.-EDISI UKAS