LUNDU: Pasukan LANDAS Saga Sebuyau membuktikan kehebatan mereka apabila muncul johan bagi acara Bidar 30 Pekayuh Lelaki (Raja Sungai) Akhir dalam Regatta Batang Kayan 2026 pada Ahad.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Pasukan itu berjaya menamatkan kayuhan dengan catatan masa 7.28 saat, sekali gus menewaskan pesaing lain untuk merangkul gelaran Raja Sungai serta membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM20,000.
Tempat kedua disandang oleh pasukan Bujang Sigat yang mencatatkan masa 7.33 saat untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
Manakala tempat ketiga menjadi milik pasukan LANDAS Cahaya Helang Tasik dengan catatan masa 7.36 saat, sekali gus meraih hadiah wang tunai RM6,000.
Sebelum itu, Datuk Patinggi Abang Zohari bersama dif kenamaan berkesempatan menyaksikan acara akhir tersebut yang menyaksikan persaingan sengit bagi kelompok tiga teratas.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong Dato Sri Nancy Shukri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan serta Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Mohd Hisyam Arif