KANOWIT: Pesta Kanowit 2026 yang berlangsung dari 12 hingga 27 September berjaya menarik kira-kira 20,000 pengunjung dari dalam dan luar Sarawak, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana berkata, sambutan tersebut membuktikan acara berkenaan mempunyai potensi untuk terus berkembang sebagai tarikan pelancongan dan acara komuniti di daerah Kanowit.
“Jumlah kehadiran ini menunjukkan Pesta Kanowit mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai acara yang mampu menarik masyarakat dan pengunjung dari luar daerah.
“Pada masa sama, kehadiran pengunjung turut membuka peluang kepada peniaga dan usahawan tempatan untuk menjana pendapatan serta mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Perpaduan Negara Dato Sri Aaron Ago Dagang pada majlis penangguhan pesta tersebut di Pekan Kanowit, di sini pada Ahad.
Menurut Anyi, Cabaran Bot Kuasa Tinggi 2026 menjadi antara acara kemuncak yang berpotensi diketengahkan sebagai produk acara bagi memperkenalkan Kanowit dan Sungai Rajang kepada masyarakat yang lebih luas.
“Cabaran Bot Kuasa Tinggi bukan sekadar pertandingan sukan, malah mempunyai potensi menjadi produk acara yang memperkenalkan Kanowit dan Sungai Rajang kepada masyarakat lebih luas.
“Keunikan Sungai Rajang sebagai latar kepada acara ini memberikan identiti tersendiri kepada Pesta Kanowit,” ujarnya.
Beliau berkata, sekiranya terus diperkasakan dari tahun ke tahun, acara tersebut berpotensi menjadi antara acara sukan air yang dinanti-nantikan di Sarawak.
Dalam pada itu, Anyi berkata keunikan Kanowit, termasuk kedudukannya di sepanjang Sungai Rajang, kepelbagaian masyarakat, budaya dan semangat komuniti merupakan aset bernilai yang boleh terus diketengahkan dalam pembangunan pelancongan daerah.
Hadir sama ADUN Machan Allan Siden Gramong, Pegawai Daerah Kanowit merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kanowit 2026 Cerisologo Sabut serta Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan Negara Dr Stephen William. -EDISI UKAS