Sarawak Perkukuh Pendidikan Menerusi Inisiatif Sendiri
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh sektor pendidikan menerusi pelbagai inisiatif sendiri bagi memastikan kualiti pendidikan dan peluang pembelajaran anak-anak negeri terus dipertingkatkan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, Sarawak perlu mengambil langkah sendiri bagi memastikan usaha memperkasa pendidikan negeri terus bergerak seiring keperluan semasa.
“Kita tidak dapat menunggu. Kita harus bergerak sendiri dengan cara yang begitu drastik supaya pendidikan itu kita tidak ketinggalan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Penerangan dan Penjelasan Isu-Isu Semasa Pemerkasaan UP-DLP Sarawak yang dianjurkan dengan kerjasama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) di Wisma Sabati, di sinic pada Ahad.
Menurut Datuk Dr Annuar, antara usaha berkenaan termasuk menangani masalah sekolah daif, memperluas penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran serta membangunkan sekolah antarabangsa milik kerajaan negeri.
Katanya, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan peluang pendidikan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya turut diperluas kepada pelajar luar bandar bagi mengurangkan jurang pendidikan antara kedua-dua kawasan.
Datuk Dr Annuar menambah, tanpa intervensi yang bersesuaian, jurang antara golongan berpendapatan berbeza serta antara kawasan bandar dan luar bandar berpotensi menjadi semakin luas.
Ujarnya, perubahan pendekatan pendidikan Sarawak turut mencerminkan usaha kerajaan negeri untuk mengambil peranan lebih aktif dalam menangani keperluan pendidikan, khususnya dalam membangunkan bakat dan menyediakan asas pendidikan yang lebih baik kepada generasi akan datang.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Mohamed Faizal Shah Ali yang mewakili Pengarah UKAS, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang Ts. Dr Abang Kassim Yusuf Kadir, Pegawai Pendidikan Daerah Kuching Dr Majelan Sulong serta Guru Besar SK Merpati Jepang Hasim Seli. -EDISI UKAS