Marina & Pusat Penjaja Dicadangkan Di Kawasan Jambatan Rambungan
LUNDU: Pembangunan marina atau kemudahan penyimpanan bot serta pusat penjaja dicadang diwujudkan berhampiran Jambatan Rambungan bagi merancakkan aktiviti ekonomi komuniti kampung di kawasan sekitarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, kemudahan marina itu boleh dimanfaatkan penggemar aktiviti memancing untuk menyimpan bot mereka, selain berpotensi menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi dan rekreasi baharu di kawasan berkenaan.
Menurutnya, cadangan berkenaan turut merangkumi pembangunan kawasan komuniti dan pusat pengembangan ekonomi bagi menghidupkan kawasan sekitar jambatan selepas ia siap kelak.
“Jadi sedikit sebanyak dapat menghidupkan kawasan tersebut, termasuk juga pusat penjaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penangguhan Regatta Batang Kayan 2026, di sini pada Ahad.
Tambahnya lagi, pembangunan pusat penjaja berhampiran infrastruktur baharu bukan perkara asing dan boleh dilihat menerusi perkembangan kawasan sekitar Jambatan Batang Samarahan.
Katanya, pengalaman tersebut menunjukkan kemudahan ekonomi yang dirancang seiring pembangunan infrastruktur boleh membuka peluang menjana pendapatan kepada masyarakat setempat.
Sehubungan itu, beliau berharap konsep sama dapat dipertimbangkan di kawasan Rambungan bagi memastikan komuniti kampung di sekitar jambatan turut mendapat manfaat ekonomi daripada pembangunan berkenaan. -EDISI UKAS