Pesta Kuih Bulan Satukan Masyarakat Pelbagai Kaum Di Long Lama
MARUDI: Pesta Kuih Bulan Long Lama 2026 menjadi wadah memperkukuh hubungan masyarakat pelbagai kaum apabila lebih 400 penduduk berkumpul bersama meraikan perayaan berkenaan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Kee Tee, di sini pada Jumaat.
Sambutan itu menghimpunkan masyarakat Cina, Kayan, Kenyah, Penan, Iban dan kaum lain sekali gus mencerminkan hubungan erat serta semangat hidup bersama dalam komuniti Long Lama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, sambutan berkenaan bukan sekadar meraikan warisan kebudayaan masyarakat Cina, tetapi turut menjadi ruang menghubungkan masyarakat, keluarga dan pelbagai kaum di Long Lama.
“Bagi saya, program seperti ini bukan sekadar satu perayaan kebudayaan masyarakat Cina. Ia mempunyai makna yang jauh lebih besar kerana ia menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat, keluarga dan pelbagai kaum di Long Lama.
“Kita mungkin berbeza bangsa, bahasa, agama dan budaya, tetapi kita adalah keluarga besar Long Lama,” katanya ketika merasmikan sambutan tersebut.
Menurut beliau, pembangunan Long Lama sebagai salah satu pusat penting di Telang Usan akan terus diberi perhatian meliputi aspek infrastruktur, kemudahan awam serta usaha membina masyarakat yang bersatu, progresif dan saling menghormati.
Sambutan Pesta Kuih Bulan Long Lama 2026 turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api yang menceriakan suasana, khususnya buat kanak-kanak yang hadir. –EDISI UKAS