Sarawak Kenal Pasti 14,000 Hektar Tanah Untuk Penanaman Padi
BINTULU: Sarawak memperkukuh usaha meningkatkan pengeluaran beras dan jaminan makanan menerusi pembangunan 14,000 hektar tanah untuk penanaman padi termasuk 7,000 hektar tanah kerajaan yang akan diwartakan khusus bagi tujuan berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pewartaan tanah itu penting bagi memastikan kawasan yang dikenal pasti kekal digunakan untuk pengeluaran padi dan tidak ditukar kepada tanaman lain yang menawarkan pulangan lebih tinggi.
Langkah tersebut juga katanya selaras dengan agenda nasional untuk meningkatkan pengeluaran beras dalam negara sekali gus memperkukuh tahap keterjaminan makanan.
“Kita menyahut seruan daripada peringkat agenda nasional di mana kita akan menambahkan pengeluaran beras dalam negara.
“Untuk itu kita telah mengenalpasti kawasan yang dibangunkan untuk penanaman padi,” ujarnya dalam sidang media di sini pada Isnin.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Sarawak Agrofest 2026 yang berlangsung di Lapangan Terbang Lama Bintulu.
Premier Sarawak menambah, antara kawasan yang dikenal pasti bagi 7,000 hektar tanah yang akan diwartakan untuk penanaman padi ialah di Lundu, Banting (Lingga), Limbang dan Lawas.
Jelas beliau, selain memperluas kawasan penanaman, Sarawak turut memberi tumpuan kepada penyelidikan bagi menghasilkan varieti padi yang lebih sesuai dengan keperluan kesihatan, termasuk beras dengan kandungan kanji lebih rendah yang berpotensi dibangunkan sebagai jenama beras Sarawak.
“Kita juga menekankan usaha membuat penyelidikan mengenai beras yang penting untuk kesihatan yang tidak mengandungi banyak kanji.
“Jika ini berjaya, kita akan mempunyai jenama kita sendiri yang saya rasa seluruh dunia memerlukan produk ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak menjelaskan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan amat penting memandangkan usaha meningkatkan pengeluaran padi merupakan sebahagian daripada agenda nasional dan bukan hanya untuk kepentingan Sarawak.
Hadir sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Residen Bintulu, Datu Nyurak Keti serta tetamu lain. - EDISI UKAS