Simunjan Youth Festival 2026 Perkasa Belia, Usahawan Tempatan
SIMUNJAN: Simunjan Youth Festival 2026 menjadi platform memperkasa potensi belia melalui pengisian sukan, e-sukan, kebudayaan, keusahawanan dan kemasyarakatan sepanjang lima hari, bermula 30 September hingga 4 Oktober 2026.
Penganjuran festival itu bukan sekadar menyediakan aktiviti rekreasi dan hiburan, malah membuka ruang kepada golongan muda mencungkil bakat, membina keyakinan serta mengasah kemahiran menerusi pelbagai bidang.
Dianjurkan oleh Kelab Sukan Elektronik Majlis Daerah Simunjan (SDCE) dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Simunjan, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) serta Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong, festival berkenaan turut memberi peluang kepada usahawan dan peniaga tempatan memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka.
Antara pengisian utama ialah pertandingan e-sukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Tekken 8 dan EAFC 26, selain Simunjan Boiler Run 2026, pertandingan bola jaring dan mini pingpong.
Bagi menggalakkan gaya hidup sihat, festival turut menampilkan Aerodance Simunjan dan Simunjan Weightloss Challenge 2026, manakala segmen kebudayaan mengetengahkan seni mempertahankan diri serta Sikar Demo Performance (Kuntau Tradisional Indigenous Iban).
Peluang kepada sektor keusahawanan pula disediakan menerusi Food Fest dan Pertandingan Senirasa Dessert Viral 2026, selain Autoshow Simunjan JDM X MDM yang memberi tarikan kepada peminat automotif.
Festival turut menyediakan aktiviti kemasyarakatan termasuk perkhidmatan gunting rambut percuma serta kaunter agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Penganjuran yang diadakan bersempena Sambutan 40 Tahun Samarahan Maju Makmur (1986–2026) itu turut mengetengahkan seni, budaya dan identiti tempatan Simunjan sebagai sebahagian daripada pengisian festival.
Bertemakan “Satu Festival, Seribu Pengalaman”, Simunjan Youth Festival 2026 dijangka menjadi ruang interaksi antara belia, keluarga dan komuniti, di samping memberi pengalaman pengurusan program serta peluang mengembangkan bakat dan kemahiran golongan muda.-EDISI UKAS