Akses Penjagaan Kanser Wanita Luar Bandar Perlu Diperkasa
KUCHING: Akses kepada pencegahan, pengesanan awal dan rawatan kanser perlu diperkasa bagi memastikan wanita di kawasan luar bandar, pedalaman dan komuniti Orang Asal mendapat penjagaan kesihatan yang saksama.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata keluasan geografi Sarawak menyebabkan sebahagian wanita berdepan cabaran mendapatkan perkhidmatan kesihatan, termasuk perjalanan jauh, kos pengangkutan dan penginapan, tanggungjawab keluarga, halangan bahasa serta stigma.
“Kedudukan geografi seseorang tidak seharusnya menentukan peluangnya untuk mendapatkan pengesanan awal kanser.
"Etnik, pendapatan atau bahasa juga tidak seharusnya menentukan sama ada seseorang wanita menerima rawatan tepat pada masanya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk “Closing the Gaps — Women, Families, and Equity in Cancer Care” pada Perhimpunan Agung dan Persidangan Saintifik ke-13 Asian Pacific Organization for Cancer Prevention (APOCP) di Waterfront Hotel, di sini, pada Isnin.
Dato Sri Fatimah berkata usaha menangani kanser perlu merangkumi keseluruhan laluan penjagaan, daripada pendidikan kesihatan, pencegahan dan pengesanan awal hingga diagnosis, rawatan, pemulihan serta penjagaan paliatif dan akhir hayat.
Beliau turut menekankan keperluan melibatkan komuniti Orang Asal dalam perancangan dan pembangunan program kesihatan kanser, selain memastikan perkhidmatan diberikan dengan mengambil kira budaya, bahasa dan keperluan komuniti setempat.
Sehubungan itu, beliau menggariskan keutamaan memperkukuh hubungan dengan komuniti, menambah baik data, meningkatkan pencegahan dan pengesanan awal serta memperkukuh sistem rujukan bagi memastikan akses kepada penjagaan kanser berkualiti dapat diperluas.-EDISI UKAS