MATU: Seramai 450 peserta menyertai Merdeka Fun Run 2026 sempena sambutan Bulan Kebangsaan yang berlangsung meriah di Dataran Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD), di sini, pada Sabtu.
Daripada jumlah tersebut, seramai 133 peserta menyertai kategori 10 kilometer (10KM) Lelaki Terbuka, manakala 317 peserta mengambil bahagian dalam kategori 5KM Wanita Terbuka.
Turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr. Juanda Jaya.
Penganjuran Merdeka Fun Run 2026 bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah, malah menjadi platform menyemarakkan semangat patriotisme serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
Program berlangsung dalam suasana penuh semangat dan keceriaan, selaras dengan aspirasi sambutan Bulan Kebangsaan untuk menyatukan masyarakat menerusi aktiviti sihat. -EDISI UKAS