KUCHING: Sarawak masih memerlukan kira-kira 1,000 guru bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar di negeri ini, terutama guru mengikut opsyen tertentu.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pengambilan guru baharu untuk Sarawak masih belum diumumkan dan pihaknya masih menunggu maklumat lanjut berhubung perkara tersebut daripada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
“Belum lagi keluar, nanti kita tengok. Jadi, kita lihat bagaimana nanti. Tetapi pengambilan guru adalah daripada SPP, mereka yang akan membuat tawaran kepada semua calon yang berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sarawak Informal Education (IFE) Recognition – Community Skills And Productivity di Menara LCDA, di sini, pada Isnin.
Dato Sri Roland menambah, Sarawak sebenarnya tidak mengalami kekurangan guru yang terlalu besar dengan jumlah kekurangan dianggarkan sekitar 1,000 orang.
Bagaimanapun, katanya, kekurangan guru mengikut opsyen menjadi cabaran utama kerana tidak semua mata pelajaran mempunyai guru yang mencukupi, khususnya dalam bidang Sains.
Ujarnya, sebahagian daripada guru yang diperlukan juga adalah mereka yang mempunyai keupayaan untuk mengajar lebih daripada satu mata pelajaran, berdasarkan perkara yang telah dibentangkan kepadanya.
Dalam majlis perasmian, seramai 105 peserta menerima Sijil Pengiktirafan Pendidikan Tidak Formal Sarawak (IFE) selepas berjaya melengkapkan proses pengiktirafan kemahiran menerusi inisiatif Sarawak Informal Education (IFE) – Community Skills and Productivity.
Inisiatif tersebut merupakan satu usaha untuk mengiktiraf kemahiran dan kompetensi yang diperoleh rakyat di luar sistem pendidikan formal.
Dato Sri Roland berharap pengiktirafan tersebut menjadi batu loncatan kepada peserta untuk meneroka peluang baharu, meneruskan pembangunan kemahiran serta menyumbang kepada keluarga, komuniti dan ekonomi yang lebih luas. -EDISI UKAS