BINTULU: Penggunaan teknologi, inovasi dan pendekatan baharu perlu dipergiat bagi mentransformasikan sektor agro Sarawak menjadi sektor yang moden, produktif, mampan, berdaya saing dan berdaya tahan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan bukan sahaja jumlah pengeluaran, malah kualiti, keselamatan dan nilai tambah produk agro tempatan.
Menurutnya, penggunaan teknologi baharu juga penting untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai sektor pertanian, selain menangani cabaran komuniti petani yang semakin berusia.
“Sudah tiba masanya kita menggunakan dan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sarawak Agrofest 2026 di Lapangan Terbang Lama Bintulu, pada Isnin.
Majlis tersebut disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, pembangunan sektor agro tidak seharusnya hanya bergantung kepada keluasan tanah, sebaliknya memberi tumpuan kepada kualiti serta kebolehpasaran produk.
Katanya, pengukuhan rantaian bekalan daripada peringkat huluan hingga hiliran, termasuk industri pemprosesan dan pemasaran, perlu diberi perhatian bagi meningkatkan nilai tambah produk pertanian.
Dalam konteks keterjaminan makanan, Rundi berkata Sarawak turut memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran padi dan beras, termasuk pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran bagi menyokong kawasan penanaman.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang meneroka pendekatan Design, Build, Operate and Transfer (DBOT) dengan penglibatan pihak yang mempunyai kapasiti, teknologi, kepakaran dan kemampuan kewangan untuk mempercepat pembangunan sektor padi.
“Padi sangat penting, bukan sahaja untuk Sarawak tetapi juga keterjaminan makanan negara,” katanya.
Dato Sri Dr Stephen Rundi turut menggesa petani supaya melihat bidang pertanian sebagai satu bidang keusahawanan dengan menghasilkan produk yang mempunyai nilai ekonomi dan mampu meningkatkan pendapatan.
Katanya, usaha menarik golongan muda ke sektor agro perlu diteruskan dengan menyediakan peluang untuk mereka memperoleh pengetahuan, latihan dan kemahiran dalam penggunaan teknologi moden.
Sarawak Agrofest 2026 yang berlangsung dari 25 September hingga 4 Oktober di Lapangan Terbang Lama Bintulu membawa tema “Menginovasi Pertanian untuk Keterjaminan Makanan” atau “Innovating Agriculture for Food Security”.
Penganjuran kali keenam itu menyasarkan 800,000 pengunjung serta nilai jualan sebanyak RM6.5 juta sepanjang 10 hari program.
Sebanyak 201 penyertaan terlibat dalam pelbagai segmen termasuk Pavilion Pameran, Sarawak Kitchen, Agrotrade, Agrotech, Agrofresh dan Agroinput.- EDISI UKAS