Peningkatan Perhatian Terhadap Sukan Tingkat Risiko Integriti
KUCHING: Peningkatan perhatian, pelaburan dan capaian digital terhadap sukan meningkatkan keperluan memperkukuh integriti dan tadbir urus bagi membendung risiko penipuan, manipulasi serta aktiviti haram yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap pertandingan.
Pegawai Program Nasional Antirasuah, Pejabat Program Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) Malaysia, Vikram Ragunath, dan Rakan Kongsi Hogan Lovells Lee & Lee, Khushaal Ved, berpandangan cabaran integriti sukan kini semakin kompleks seiring perkembangan teknologi dan peningkatan perhatian terhadap acara sukan.
Menurut Vikram, antara cabaran utama integriti dalam pengurusan sukan termasuk perolehan, penipuan dan manipulasi haram yang dikaitkan dengan aktiviti pertaruhan serta kegiatan lain yang menyalahi undang-undang.
Katanya, cabaran tersebut tidak terhad kepada Malaysia atau mana-mana negara tertentu, sebaliknya boleh merebak dengan pantas merentasi sempadan susulan perkembangan internet, transaksi kewangan dalam talian dan komunikasi digital.
“Penyelidikan kami di UNODC menunjukkan trend ini berulang dan merebak dengan sangat pantas, khususnya dengan perkembangan internet serta pelbagai transaksi kewangan dan komunikasi dalam talian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026, di Hikmah Exchange Event Centre, pada Isnin.
Katanya, keadaan itu menjadikan amalan tadbir urus yang kukuh penting bagi mencegah penyalahgunaan, manipulasi, nepotisme dan kronisme yang boleh membuka ruang kepada jenayah terancang.
Sementara itu, Khushaal berkata, peningkatan pelaburan dan perhatian terhadap sukan turut menjadikan pengurusan reputasi semakin penting, khususnya apabila sesuatu pertandingan mendapat capaian penonton merentasi pelbagai bidang kuasa.
Katanya, penganjuran Sukan SEA tahun depan dijangka menarik perhatian bukan sahaja penonton dari rantau Asia Tenggara, malah dari seluruh dunia, sekali gus meningkatkan tuntutan terhadap aspek keadilan dan integriti pertandingan.
“Dari perspektif integriti, lebih banyak perhatian bermakna pengurusan reputasi sama pentingnya dengan cabaran undang-undang. Penonton mahu tahu bahawa sukan yang dipertandingkan dijalankan secara adil.”
Menurutnya, sebarang keraguan terhadap keadilan sesuatu pertandingan boleh memberi kesan bukan sahaja kepada sukan berkenaan, malah acara lain yang berkaitan.
Khushaal turut menekankan kepentingan membina budaya integriti merentasi keseluruhan organisasi termasuk atlet, jurulatih, pengurusan dan pihak berkepentingan lain.
Katanya, organisasi sukan perlu menyediakan saluran pelaporan yang selamat, sulit dan berkesan supaya sebarang kebimbangan berkaitan integriti dapat dilaporkan tanpa rasa takut terhadap tindakan balas.-EDISI UKAS