BINTULU: Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan RM1 bilion bagi mempercepat pembangunan sektor penanaman padi di negeri ini dan bersedia melaksanakannya secara padanan atau ‘one-to-one’ sekiranya Kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan sama.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan penting dalam meningkatkan pengeluaran beras, bukan sahaja bagi memenuhi keperluan negeri, malah menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
Menurut beliau, pembangunan kawasan penanaman padi memerlukan pelaburan besar, khususnya bagi menyediakan infrastruktur pengairan dan saliran yang mencukupi bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran padi.
“Kita telah tetapkan sebanyak RM1 bilion untuk penanaman padi.
“Dan kalau boleh kita berharap Kerajaan Persekutuan dapat menambah ‘one-to-one’ dan kita juga akan menambah jumlah yang sama lagi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Sarawak Agrofest 2026 di Lapangan Terbang Lama Bintulu di sini pada Isnin.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bertafakur sejenak sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, isteri mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada pagi Isnin.
Sementara itu, Premier Sarawak berkata, penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak dijangka memperkukuh usaha negeri meningkatkan pengeluaran padi menerusi kerjasama dengan Lembaga Padi dan Beras Negara.
Menurut beliau, lembaga berkenaan akan membantu Sarawak menyesuaikan strategi serta memperluas pembangunan sektor padi agar berpotensi menjadi antara sektor pertanian utama yang dapat dikembangkan pada masa hadapan.
“Kerjasama ini akan mampu menambahkan pengeluaran padi dan juga diharap akan menjadi satu sektor yang boleh kita kembangkan,” tambahnya.
Beliau berkata, usaha berkenaan turut disokong menerusi peruntukan Kerajaan Sarawak serta penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti sektor pertanian.
Hadir sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Residen Bintulu, Datu Nyurak Keti dan tetamu lain. -EDISI UKAS