Tadbir Urus Sukan Perlu Diperkukuh, Integriti Jadi Keutamaan
KUCHING: Tadbir urus sukan di Malaysia perlu diperkukuh dari peringkat asas termasuk pematuhan perlembagaan, kepimpinan berintegriti, perlindungan atlet dan pengurusan kewangan bagi membendung risiko salah laku serta meningkatkan keyakinan terhadap organisasi sukan.
Presiden Institut Penyelesaian Pertikaian Alternatif Asia (AIADR), Datuk Sundra Rajoo, Presiden Persatuan Undang-Undang Sukan Malaysia, Balbeer S Jessy dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Undang-Undang Sukan Malaysia, Nicholas Chan berpandangan pengukuhan tersebut perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan hanya tertumpu kepada aspek rasuah atau salah laku atlet.
Menurut Datuk Sundra, perkembangan pesat aktiviti sukan di Asia termasuk penganjuran temasya berprofil tinggi dan peningkatan nilai ekonomi sukan di rantau ini menuntut Asia memperkukuh keupayaan sendiri dalam tadbir urus serta penyelesaian pertikaian sukan.
Beliau berkata, rantau Asia perlu membangunkan satu sistem yang dapat berfungsi seiring dengan struktur antarabangsa sedia ada, selain memperkukuh latihan, kursus dan badan berkaitan tadbir urus serta penyelesaian pertikaian sukan.
“Sudah tiba masanya Asia membangunkan sistemnya sendiri yang berfungsi seiring dengan struktur antarabangsa sedia ada serta membina struktur bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak (SNSIC) 2026, di Hikmah Exchange Event Centre, pada Isnin.
Sementara itu, Balbeer berkata, pengukuhan tadbir urus perlu bermula dengan memastikan setiap persatuan sukan mematuhi perlembagaan masing-masing dalam melaksanakan urusan pentadbiran dan membuat keputusan.
Katanya, kegagalan mematuhi perlembagaan boleh mencetuskan pelbagai isu pentadbiran serta menjejaskan aspek ketelusan dan tadbir urus organisasi.
Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan yang berintegriti, berpengetahuan dan beretika perlu ditempatkan di peringkat tertinggi setiap persatuan bagi memastikan organisasi diurus dengan baik.
“Perubahan paling penting dalam tadbir urus sukan ialah memastikan pemimpin yang baik dan berintegriti menerajui persatuan, di samping memastikan organisasi terdiri daripada individu yang berpengetahuan, beretika dan mempunyai integriti,” jelasnya.
Dalam pada itu, Nicholas menekankan bahawa integriti sukan perlu turut merangkumi aspek keselamatan dan kebajikan atlet, khususnya kanak-kanak dan golongan muda.
Menurutnya, Kod Sukan Selamat (Safe Sport Code) perlu diterapkan dalam perlembagaan setiap persatuan sukan bagi memperkukuh perlindungan atlet serta menangani isu penguatkuasaan.
Beliau berkata, persatuan sukan juga perlu memperkukuh kerangka kawal selia kewangan, termasuk memastikan pengurusan kewangan yang telus dan akaun organisasi diaudit bagi mengurangkan ruang berlakunya salah laku.
Katanya, budaya akauntabiliti dan ketelusan perlu dibina dari peringkat asas organisasi kerana ia berkait rapat dengan pengurusan kewangan, kebajikan atlet, latihan serta pembangunan sukan secara keseluruhan.
“Kita perlu membina budaya itu dari awal bahawa kita mesti sentiasa bertanggungjawab dan telus dalam pelbagai perkara.”
Sarawak juga dilihat mempunyai ruang untuk memainkan peranan lebih besar dalam memperkukuh budaya integriti sukan, khususnya menjelang Kuching menjadi antara bandar tuan rumah Sukan SEA 2027 akan datang.
Justeru, pengukuhan tadbir urus, akauntabiliti dan integriti dilihat penting bagi memastikan pembangunan sukan tidak hanya berteraskan pencapaian di gelanggang, tetapi turut disokong sistem pengurusan yang telus, bertanggungjawab dan berintegriti.-EDISI UKAS