Sukan SEA 2027 Perlu Berteraskan Tadbir Urus, Integriti
KUCHING: Persiapan Sarawak sebagai tuan rumah bersama temasya Sukan SEA 2027 perlu memberi penekanan bukan sahaja kepada venue, logistik dan pengurusan acara, malah aspek tadbir urus, ketelusan serta perlindungan daripada risiko integriti.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penganjuran temasya berkenaan memberi peluang kepada Sarawak untuk menunjukkan keupayaan dalam mengendalikan acara sukan berskala besar, selain memperkukuh standard tadbir urus dalam sektor sukan.
“Kejayaan sesuatu acara sukan tidak hanya diukur berdasarkan kecekapan penganjurannya. Ia juga dinilai melalui pengendalian pertandingan yang adil, layanan yang sewajarnya terhadap para peserta, pengurusan sumber yang bertanggungjawab, serta keyakinan orang ramai terhadap sistem yang mendasari acara tersebut.
“Dalam konteks ini, Sukan SEA 2027 bukan sahaja memberi kita peluang untuk menganjurkan acara sukan bertaraf besar, malah menjadi wadah untuk mempamerkan piawaian tadbir urus dan integriti yang seharusnya menjadi asas kepada masa depan sukan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada majlis perasmian Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak atau Sarawak National Sports Integrity Conference (SNSIC) di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini, pada Isnin.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, kemudahan, kepakaran, jurulatih dan sistem yang dibangunkan sempena Sukan SEA 2027 perlu terus memberi manfaat kepada pembangunan sektor sukan selepas temasya tersebut berakhir.
Menurutnya, pembangunan sukan turut berperanan membentuk golongan muda yang berdisiplin, berdaya tahan dan yakin, selain mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara organisasi sukan, agensi kerajaan, pihak penguat kuasa, sektor swasta dan rakan antarabangsa bagi memperkukuh integriti sukan serta menghadapi cabaran berkaitan secara bersama.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr. Hazland Abang Hipni serta Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu.-EDISI UKAS