Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Kehilangan Besar Kepada Rakyat Malaysia
KUCHING: Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat Malaysia.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sumbangan dan peranan Tun Dr Siti Hasmah sebagai pendamping kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang tempoh kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri turut menjadi sebahagian daripada perjalanan penting negara.
Beliau berkata, Tun Dr Mahathir menerajui negara selama 22 tahun dan tempoh berkenaan menyaksikan pelbagai perubahan serta perkembangan dalam pembangunan Malaysia.
“Ini adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga Tun Dr Mahathir tetapi juga kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada majlis perasmian Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak atau Sarawak National Sports Integrity Conference (SNSIC) di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini, pada Isnin.
Dato Sri Abdul Karim turut merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir serta seluruh keluarga atas pemergian Tun Hasmah.
Dilahirkan pada 12 Julai 1926, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada Isnin.-EDISI UKAS