Integriti Sukan Perlu Utamakan Pencegahan, Pengurusan Risiko
KUCHING: Pendekatan terhadap integriti sukan perlu memberi penekanan kepada pencegahan dan pengurusan risiko lebih awal, bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan selepas berlakunya salah laku.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, perkembangan pesat serta peningkatan nilai komersial industri sukan menjadikan cabaran integriti semakin kompleks, khususnya dalam penganjuran acara berskala besar.
Menurut beliau, penganjuran acara sukan berskala besar melibatkan perbelanjaan awam, perolehan, penajaan, pembangunan infrastruktur serta pelbagai transaksi kewangan yang terdedah kepada risiko rasuah, manipulasi pertandingan, pertaruhan haram, pengubahan wang haram dan jenayah terancang.
“Risiko seumpama itu bukan sahaja boleh menjejaskan kredibiliti organisasi sukan, malah turut menghakis kepercayaan orang ramai terhadap ekosistem sukan secara keseluruhan.
“Oleh itu, pendekatan kita terhadap integriti mesti beralih daripada penguatkuasaan ke arah pencegahan.
“Rasuah bukan sekadar isu perundangan, malah merupakan isu tadbir urus. Tadbir urus yang baik, ketelusan, akauntabiliti, pengurusan risiko dan kepimpinan yang berteraskan integriti mesti diterapkan dalam proses perancangan serta pembuatan keputusan kita bagi meminimumkan peluang dan ruang untuk berlakunya salah laku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis perasmian Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak atau Sarawak National Sports Integrity Conference (SNSIC) di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini, pada Isnin.
Datuk Dr. Juanda berkata, SNSIC 2026 menjadi platform penting dalam membincangkan aspek pencegahan rasuah, integriti, manipulasi pertandingan, pertaruhan haram serta jenayah kewangan, khususnya sebagai persediaan menghadapi penganjuran acara sukan besar termasuk Sukan SEA 2027.
Katanya, persidangan itu diharap dapat menghasilkan pendekatan serta tindakan praktikal bagi memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam pengurusan serta penganjuran acara sukan.
Turut hadir, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni serta Ketua-ketua Jabatan.-EDISI UKAS