BINTULU: Usaha memperkukuh ekosistem agro Sarawak terus dipacu menerusi pengiktirafan kepada usahawan cemerlang serta peluasan kerjasama strategik antara agensi, koperasi dan pemain industri sempena Sarawak Agrofest 2026.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyempurnakan penyampaian anugerah kepada penerima dalam tujuh kategori pada majlis yang berlangsung di Lapangan Terbang Lama Bintulu, di sini, pada Isnin.
Anugerah Ikon Agropreneur Sarawak 2026 diberikan kepada Dr Ng Yong Han, manakala Fazira Bujang menerima Anugerah Agropreneur Belia Sarawak 2026.
Turut menerima pengiktirafan ialah Yek Nai Boom bagi kategori Usahawan Jaya Tanaman Makanan Terbaik, Hasshafeeza Zuraini Hassan (Usahawan Jaya Industri Asas Tani Terbaik 2026), Sim Chun Min (Usahawan Jaya Perikanan Darat Terbaik 2026) dan Veronica Chew (Penternak Jaya Terbaik 2026).
Pengiktirafan turut diberikan bagi kategori Pertubuhan Peladang Kawasan Jaya Terbaik 2026.
Pada majlis sama, Premier Sarawak menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, Koperasi Agro Lambir Berhad, Green World Genetics Sdn Bhd, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia dan Ning Planters Sdn Bhd.
Kerjasama tersebut menjadi antara langkah memperluas jaringan strategik dalam sektor agro menerusi penglibatan agensi, koperasi dan pemain industri bagi menyokong pembangunan industri agromakanan Sarawak.
Premier Sarawak turut melawat tapak pameran Sarawak Agrofest 2026 serta menyempurnakan pelancaran Logo Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) Jabatan Pertanian Sarawak.
Sarawak Agrofest 2026 yang berlangsung dari 25 September hingga 4 Oktober menghimpunkan pelbagai agensi, usahawan dan pemain industri bagi mengetengahkan potensi, inovasi serta produk pertanian dan agromakanan Sarawak.
Penganjuran edisi keenam itu bertemakan ‘Menginovasi Pertanian untuk Keterjaminan Makanan’ dengan memberi tumpuan kepada transformasi sektor agromakanan menerusi penerapan teknologi pintar, automasi dan digitalisasi serta pengukuhan rantaian makanan yang lestari dalam mendepani cabaran keterjaminan makanan. -EDISI UKAS