Sarawak Perkukuh Agenda Pembangunan Bumiputera Melalui Kerangka 3-7-20
PUTRAJAYA: Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh agenda pembangunan Bumiputera melalui pendekatan lebih bersepadu dengan memberi tumpuan kepada pengembangan perusahaan, pembangunan bakat, pembiayaan, akses pasaran dan penyertaan dalam sektor berimpak tinggi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, antara inisiatif utama ialah kerangka strategik 3-7-20 yang memberi tumpuan kepada penyenaraian syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia, pembangunan Regional Business Champions serta penskalaan perusahaan mikro kepada syarikat Sendirian Berhad.
“Antara inisiatif utama ialah kerangka strategik 3-7-20, yang memberi tumpuan kepada penyenaraian syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia, pembangunan Regional Business Champions serta penskalaan perusahaan mikro kepada syarikat Sendirian Berhad.
“Kerangka ini telah mencatat pencapaian penting apabila United Asiapac Energy Berhad berjaya disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 14 September 2026, dengan permodalan pasaran RM192.50 juta dan dana RM48.74 juta berjaya diperoleh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera Bil. 2/2026 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya pada Isnin.
Tambahnya, sembilan lagi syarikat Bumiputera Sarawak telah dikenal pasti ke arah penyenaraian, termasuk dua yang disasarkan pada tahun 2027.
Selain itu, Menteri MINTRED itu memberitahu, Kerajaan Sarawak juga akan memperluas penyertaan Bumiputera dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti hidrogen, petrokimia, pembuatan termaju, aeroangkasa dan semikonduktor, selaras dengan PCDS 2030.
Pada masa yang sama ujarnya, Kerajaan Sarawak menggalakkan kolaborasi antara syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera melalui usaha sama, perkongsian teknologi, pembangunan vendor dan akses pasaran.
Menurutnya, pendekatan ini penting untuk membentuk ekosistem perniagaan Sarawak yang lebih holistik, inklusif dan saling melengkapi, serta membolehkan syarikat tempatan berkembang bersama dalam rantaian bekalan serantau dan global.
Selain itu katanya, pembangunan bakat turut diperkukuh melalui TVET di CENTEXS, Sarawak Skills dan kerjasama dengan agensi Persekutuan, manakala RM250 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Free Tertiary Education Scheme mulai 2026.
“Melalui kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, serta kolaborasi lebih kukuh antara sektor awam dan swasta, Sarawak berhasrat membangunkan ekosistem perusahaan yang lebih kukuh, inklusif dan berdaya saing, dengan lebih banyak syarikat tempatan mampu berkembang ke peringkat serantau dan global,” jelas beliau. -EDISI UKAS